Followers

Sunday, 9 March 2014

KENAPA PITAM?

Saya baru sahaja di tanya oleh seorang kawan di whatsapp yang mencari suplimen untuk dirinya yang mudah pitam dan kurang selera makan. Teringat saya ketika zaman persekolahan dulu. Memang ramai dikalangan pelajar-pelajar perempuan yang pitam lebih-lebih lagi sewaktu perhimpunan pagi. 

Apakah penyebab keadaan ini berlaku? Banyak sebab yang membawa kepada pitam ini. Jom kita baca huraian mengenainya daripada seorang doktor yang tidak asing lagi iaitu Dr. Zubaidi Hj Ahmad.

Apa yang menyebabkan pitam?
Pitam adalah suatu fenomena biasa di kalangan remaja dan wanita muda. Dalam kebanyakan kes, ia bukanlah sesuatu yang serius. Tiada rawatan spesifik diperlukan. Ia dikenali sebagai syncope di kalangan masyarakat perubatan.
Syncope adalah istilah perubatan untuk pitam yang berlaku secara tiba-tiba, biasanya sekejap tetapi boleh menjadi pengsan (tidak sedarkan diri,  loss of consciousness) disebabkan oleh peredaran darah dan bekalan oksigen yang tidak cukup di otak. Ia didahului dengan tanda-tanda seperti pening, kulit menjadi sejuk, pandangan berkabur atau terasa lemah seluruh badan.
Sebelum seseorang itu pitam, berlaku perubahan dalam keseimbangan saraf dan peredaran darah, menyebabkan jumlah darah yang mengalir ke otak berkurangan. Selepas itu beliau kehilangan perimbangan badan dan jatuh.
Apabila berbaring, aras kepala perlu berada sama dengan aras jantung. Darah akan kembali ke otak dan pesakit itu akan sedar selepas beberapa minit.
Maka jika seseorang pitam atau pengsan, jangan cuba dudukkan pesakit. Jangan alaskan kepala pesakit dengan bantal. Ini menyebabkan aras kepala lebih tinggi dari jantung. Pengaliran darah ke otak akan perlahan, dan pesakit tidak pulih dari pitam atau pengsannya.
Di antara sebab-sebab  seseorang itu menjadi pitam ialah :
1. Keadaan sekeliling
Keadaan sekeliling amat mempengaruhi sistem pengaliran darah dan sistem saraf bagi seorang remaja wanita. Ramai remaja wanita pitam namun, ia bukan masalah kesihatan yang serius.
Keadaan yang mendesak seperti berada di tempat yang terlalu padat, melakukan senaman fizikal yang berat, terlalu lapar, terlalu haus, atau berdiri lama di tengah panas terik boleh menyebabkan  mereka pitam dan pengsan. Begitu juga jika mereka bangun dari keadaan duduk atau baring terlalu cepat.
Keadaan sebegini disebabkan di dalam tubuh kita terdapat sistem vasovagal yang mengawal keseimbangan hormon, emosi, saraf dan peredaran darah. Apabila ia terganggu, ia menyebabkan keadaan pitam atau syncope.
Vasovagal syncope disebabkan oleh tekanan emosi, terlalu takut, dimalukan di khalayak, atau merasa tidak selesa di perhimpunan ramai. Emosi yang bercelaru ini menyebabkan sistem saraf akan menghalang darah ke otak, lalu menyebabkan pitam.
Hypoxic syncope berlaku akibat kekurangan oksigen (hypoxia) iaitu apabila udara mengandungi kurang dari 16% oksigen. (Kurang dari  11% boleh menyebabkan rasa susah bernafas (suffocation) dan kematian).
Sama ada otak kita kekurangan oksigen atau pengaliran darah ke otak tidak mencukupi, tubuh akan menerima ‘signal’ agar sesuatu harus dilakukan.
Tubuh akan bertindakbalas dengan mengecutkan saluran darah ke bahagian tubuh yang kurang penting, supaya darah dapat dihantar ke bahagian otak bagi membekalkan oksigen.
Penghantaran darah dipercepatkan untuk mempercepatkan degupan jantung (tachycardia). Kadar pernafasan juga dipercepatkan bagi meningkatkan tahap kandungan oksigen.
Proses ini akan menyebabkan kulit pesakit berwarna pucat, bernafas dengan laju, loya dan muntah, dan lemah anggota terutamanya kaki. Jika tidak terkawal ia akan menyebabkan pitam.
2.Hyperventilation.
Individu yang berada dalam keadaan hyperventilation biasanya akan menarik nafas pendek tetapi dengan kadar laju. Tujuannnya adalah untuk menampung kepekatan oksigen yang kurang. Ia juga menyebabkan kepekatan carbon dioxide (CO2) di dalam darah menurun secara mendadak dan mengakibatkan pitam.
Keadaan ini berlaku di kalangan orang yang terperanjat, terlalu stress atau mengalami masalah keresahan (anxiety disorders). Saya pernah menerima seorang eksekutif wanita yang pitam kerana dimarahi oleh pegawai atasannya. Beliau tidak dapat menahan rasa terperanjat, malu dan marah di khalayak lalu pitam.
3.Kekurangan gula dalam darah.
Otak memerlukan bekalan gula yang berterusan untuk berfungsi 24 jam tanpa berhenti. Kekurangan gula berlaku pada mangsa bencana alam yang tidak mendapat bekalan makanan untuk beberapa hari. Mereka yang terlalu menjaga pemakanan dengan ketat juga mengalami masalah serupa.
Seorang pesakit mengadu selalu sakit kepala dan badannya lemah. Dia pernah beberapa kali pitam di pejabat. Bila saya periksa, saya dapati kandungan gulanya terlalu rendah. Alasannya untuk menjaga berat badan kerana majlis perkahwinannya akan berlangsung tidak lama lagi.
Kandungan gula sebanyak 3.5mmol/ml menyebabkan pesakit mula berasa pitam manakala bacaan GM 2.0mmol/ml pasti menyebabkan seseorang itu pitam.
3.Anemia.
Anemia berlaku apabila pesakit mempunyai kurang bilangan sel darah merah. Sel-sel ini penting untuk membawa oksigen ke jantung dan otak. Biasanya anemia berlaku pada gadis yang mengalami pendarahan haids yang banyak.
4.Kehamilan.
Bagi wanita muda yang hamil, tubuh mereka mengalami beberapa perubahan dalam sistem peredaran darah. Darah mereka di’kongsi’ dengan bayi yang di dalam rahemnya.
Rahem yang membesar menekan saluran darah besar aorta dan inferior vena cava yang menyalurkan darah semula ke jantung dan ke otak.
Seorang gadis berusia 18 tahun telah dibawa oleh ibunya ke klinik kerana pengsan di dapur rumah. Beliau juga kelihatan selalu penat. Ujian air kencing untuk kehamilannya positif. Ibunya pula yang pitam akibat terkejut menerima berita itu.
5.Masalah Jantung.
Masalah jantung di kalangan remaja jarang diketahui sehingga mereka melakukan aktiviti fizikal di luar rumah. Antara masalah jantung ialah degupan jantung yang tidak seragam (irregular rhythm) dan kebocoran kecil pada dinding tengah jantung (Septal Defect). Jika remaja atau wanita muda pitam setelah melakukan aktiviti senaman yang berat, mereka perlu dihantar untuk pemeriksaan.

Bagaimana mengurangkan kemungkinan untuk pitam?

Sesetengah remaja merasa pening kepala sebelum terjadinya pitam. Pening kepala harus dibezakan dari sakit kepala. Pening kepala bermakna pesakit merasakan seluruh benda yang berada di sekitarnya berpusing laju mengelilinginya. Sementara sakit kepala biasanya merasakan kesakitan di dalam kepala. Selain itu pesakit berasa pandangan berkabur atau terus gelap. Ada yang berasa loya dan muntah. Jantung pula berdegup laju dan sukar untuk bernafas.
Jika ada tanda-tanda begitu, pesakit ini perlu segera berbaring. Ini akan menyebabkan darah yang beredar ke otak menjadi normal. Kemudian barulah perlahan-lahan cuba posisi duduk. Apabila tidak ada masalah, baru;ah dibolehkan berdiri.
Minumlah air secukupnya untuk mengurangkan dehidrasi terutama apabila kehilangan air yang banyak melalui peluh akibat bersenam, melakukan aktiviti fizikal atau ketika di cuaca panas. Elakkan suasana yang terlalu panas, padat dan merimaskan.
Jika terpaksa duduk atau berdiri terlalu lama, sesekali buatlah exercise stretching regangan dengan cara meluruskan kaki atau menyilangkan kaki. Ini membantu peredaran darah yang sempurna ke otak dan jantung.

Apa yang perlu dibuat?

Jika pitam berlaku buat pertama kali dan puncanya jelas (eg berada di kawasan yang sesak, panas atau kekurangan gula dalam badan), selalunya tiada apa yang perlu dirisaukan. Namun jika berlaku berulangkali, pesakit seharusnya berjumpa doktor dan menjalani beberapa pemeriksaan.
Selepas kejadian itu, beritahu doktor sama ada pesakit mengalami apa-apa kecederaan. Mungkin kepalanya terhantuk di meja semasa pitam atau tangannya luka akibat serpihan kaca. Pitam yang terjadi bersama dengan sakit dada, susah bernafas dan jantung berdegup kencang, memerlukan pemeriksaan yang lebih rapi.

Apa yang akan dilakukan oleh doktor?

Pitam selalunya tidak berkaitan dengan masalah kesihatan yang serius di kalangan remaja atau wanita muda. Doktor yang memeriksa biasanya hanya melakukan beberapa pemeriksaan ringkas di samping bertanyakan beberapa soalan saja.
Ada baiknya doktor menguji tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan melakukan ujian full blood picture. Untuk ini, sedikit darah akan diambil dan dihantar ke makmal.
Pemeriksaan full blood count akan memeriksa tahap hemoglobin  dan mengira jumlah sel darah merah seseorang. 5% pesakit yang pitam disebabkan oleh kekurangan sel darah merah.
Beberapa ujian lain boleh dilakukan bergantung kepada diffential diagnosis yang doktor fikirkan, antaranya ECG. ECG boleh membantu doktor untuk mendiagnosa masalah jantung seperti atrial fibrillation, heart block, atau serangan sakit jantung sama ada baru atau lama. Seramai 20%-30% pesakit yang pitam mengalami ECG yang tidak normal.
Rawatan bagi pitam bergantung punca pitam, iaitu penyakit yang menyebabkan pitam. Tiada ubat atau rawatan khusus.

Membantu rakan yang pitam

Bayangkan kita sedang bekerja dan mendapati seorang rakan kita tiba-tiba jatuh dan pengsan. Apa yang perlu kita lakukan?
Pastikan dia berada dalam keadaan berbaring lurus di atas lantai. Jika dia tercedera, jangan alihkan. Kecederaan tulang belakang (spinal injury) akan lebih mudharat jika digerakkan tanpa cara yang betul.
Longgarkan pakaian, tali pinggang, kolar atau tali leher. Ini membantu peredaran darah dan memudahkan dia bernafas. Alaskan kaki dan peha menggunakan selimut agar ia lebih tinggi dari aras jantung.
Pesakit biasanya akan sedar selepas beberapa minit. Jika masih berasa lemah untuk bangun, benarkan dia berbaring untuk beberapa minit lagi agar dia benar-benar pulih dari pitamnya. Jika pesakit itu terus pengsan dan tidak sedarkan diri langsung, bawalah dia ke hospital dengan seberapa segera.
Wa allahu a’lam
Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (021110)



No comments:

Post a Comment